Select Page

Tip Melancong: 6 Kesilapan perlu dielakkan ketika melancong

 

Walaupun kita dah beberapa kali pergi melancong di dalam atau di luar negara, anda pastinya tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan yang selalu dilakukan ketika bercuti.

Kadang-kadang ia boleh memberikan masalah yang tidak terduga.

Oleh itu, semak Tip Melancong: 6 Kesilapan perlu dielakkan kali ini yang menyenaraikan beberapa kesalahan perlu dielakkan saat bercuti di luar negara supaya percutian anda berjalan lancar.

 

1. Beg lebih muatan

Keterujaan bercuti  ada kalanya membuatkan kita hampir membawa semua pakaian yang ada di dalam almari baju, terutama jika ia adalah percutian kali pertama anda.

Jangan sesekali membawa beg dengan muatan lebih. Ini kerana, anda pastinya akan membeli pakaian baru di destinasi percutian anda.

Justeru, bawalah pakaian yang mudah dicuci serta pakaian yang boleh dipakai berulang kali seperti jaket dan seluar jean.

Tip Melancong: 6 Kesilapan perlu dielakkan

sumber : harian metro

 

2. Tidak ada senarai semak

Ia mungkin kedengaran leceh tetapi hakikatnya, dengan menyediakan senarai semak, percutian anda akan menjadi lebih mudah.

Tidak perlu menyenaraikan semuanya. Cukuplah sekadar satu senarai pendek yang memudahkan anda untuk melihat apa yang perlu dibawa, ke mana anda mahu pergi dan aktiviti apa boleh dilakukan sepanjang percutian anda itu.

Senarai semak ini juga dapat membantu anda mengingati sesuatu perkara penting dan tempat yang harus dituju memandangkan anda tidak biasa dengan tempat dikunjungi.

Percutian anda juga pasti akan lebih mudah dengan adanya senarai semak ini.

 

3. Tidak membawa ubat-ubatan

Ketika bercuti, membawa ubat asas adalah sangat perlu. Bukannya apa, jika sakit tidak serius ketika bercuti, anda boleh merawat diri sendiri.

Bukankah membazir jika anda jatuh sakit ketika bercuti dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik di destinasi yang di kunjungi?

Jadi, untuk waktu kecemasan dan menjimatkan perbelanjaan anda di luar negara, bawalah ubat yang dirasakan sesuai.

Anda mungkin boleh membawa paracetamol, ubat selesema, ubat batuk, minyak angin, ubat sakit perut, antiseptik, minyak urut, plaster, pembalut dan ubat lain yang dirasakan sesuai.

 

4. Tidak menukar duit lebih awal

Menukar duit pada saat akhir atau menukar duit apabila sampai di destinasi adalah perkara yang harus dielakkan.

Di sini, kita sudah tahu tempat yang bagus dan memberikan tukaran mata wang yang terbaik. Tetapi jika menukarnya di luar negara, anda boleh saja ditipu atau mungkin sukar untuk mencari pengurup wang. Ia pasti menyusahkan bukan.

Jadi, pastikan anda menukar wang dulu sebelum ke luar negara. Tidak mengapa jika membawa wang lebih daripada yang diperlukan. Kalau ada lebihan, boleh disimpan atau ditukar balik.

 

5. Tak ada ketua

Ketua yang dimaksudkan adalah orang yang boleh diharapkan untuk menyimpan semua dokumen penting seperti pasport, tiket, baucar hotel dan apa saja yang penting terutama bercuti lebih daripada seorang.

Biasanya, mereka yang layak jadi ketua ini adalah seorang yang lebih terperinci dan peka dengan keadaan sekeliling.

Bercuti dengan ‘ketua’ ini juga membuatkan anda lebih yakin dan selamat, terutama jika anda pertama kali keluar negara atau yang tidak yakin diri.

 

6. Tidak membawa makanan ringan

Ia mungkin sesuatu yang melecehkan, namun sangat membantu terutama jika anda bercuti di negara yang sukar untuk mendapatkan makanan halal.

Bawalah sekurang-kurangnya biskut, buah dan makanan ringan yang anda sukai.

Mahu yang lebih menyelerakan, anda juga boleh membawa ikan bilis, mi segera dan banyak lagi yang dapat mengelakkan anda daripada kelaparan saat melancong.

Anda juga boleh menjimatkan duit untuk makanan dan dapat membeli lebih buah tangan untuk diri sendiri ataupun keluarga di tanah air.

sumber : http://www.hmetro.com.my/node/37931#sthash.QhS8pEIo.dpuf